21 - 26 January 2022, Malaysia Pavilion @ EXPO 2020 Dubai

Sustainable Agriculture Week - Our Food, Our Future!

Ekspo Dubai: Kementerian Pertanian sasar tarik pelaburan RM350 juta

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI) komited untuk mencapai sasaran pelaburan bernilai RM350 juta sepanjang Minggu Pertanian Lestari di EXPO 2020 Dubai.

MAFI sebagai hos akan menerajui tema minggu itu di Pavilion Malaysia dari 21 hingga 26 Februari 2022, dengan Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) sebagai agensi pelaksana.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata MAFI sedang berusaha keras untuk mencapai sasaran pelaburan tersebut dengan memupuk hubungan dan perkongsian strategik bersama pemain-pemain global, terutamanya Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan negara Asia Barat bagi memacu pertanian lestari untuk kebaikan Malaysia dan dunia.

“Kami akan mengadakan 11 pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU), 50 potensi perniagaan, serta penyertaan daripada 20 PKS tempatan dan jabatan serta agensi di bawah MAFI pada minggu ini.

Ini adalah peluang menarik untuk kami menampilkan amalan pertanian terbaik, inovasi pintar, dan sumber asli kaya di Malaysia yang menyumbang kepada keselamatan makanan, penjanaan kekayaan, perlindungan alam sekitar, dan mata pencarian yang mapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah bahawa ekspo itu adalah peluang terbaik untuk meningkatkan hubungan dua hala dan perdagangan antara Malaysia dan UAE melalui pembangunan pertanian lestari. Kedua-dua negara bersedia untuk memanfaatkan kekuatan masing-masing bagi meningkatkan usaha pertanian lestari ke peringkat yang lebih tinggi.

MAFI dijangka menarik kira-kira 2,000 pelawat dan delegasi sepanjang Minggu Pertanian Lestari melalui pelbagai program dan aktiviti, seperti pameran, pelancaran produk-produk, pertukaran dokumen, demonstrasi masakan dan produk, koktel rangkaian, padanan perniagaan dan ceramah poket.

Kandungan program-program itu akan dijalankan berdasarkan lapan bidang tumpuan yang menampilkan kekuatan Malaysia dalam pertanian lestari termasuklah kesejahteraan daripada biodiversiti, buah-buahan tanah tropika dan hasil sampingannya, pertanian bandar pintar, penyelesaian pertanian pintar, sisa kepada kekayaan, masakan lestari, teknologi dan penyelesaian pertanian terkini, serta peluang pelaburan untuk kelestarian pertanian. Untuk maklumat lanjut mengenai Minggu Pertanian Lestari di bawah MAFI, sila layari https://mafi-events.com.